Diari Terindah Farisya Natasha

Diari Terindah Farisya Natasha

DIA... PELENGKAP HIDUPKU

DIA... PELENGKAP HIDUPKU

HARAP MAKLUM...

Segala yang tercatat di sini, hasil karya yang saya luahkan di sini merupakan HAK CIPTA saya sendiri, Farisya Natasha. Harap tidak akan ada isu COPY & PASTE. Saya amat mengharapkan kerjasama anda. Terima kasih.

WATAK-WATAK dalam BLOG ini hanyalah rekaan semata-mata. Ianya TIDAK ada kena-mengena dengan yang HIDUP ataupun yang MATI.

Manakala sebahagian GAMBAR juga diperolehi dari sumber GOOGLE.

RESTRICTED!

Protected by Copyscape Online Plagiarism Detector

My Lovely Followers

My 1st Novel

My 1st Novel

17 November 2011

CERPEN : CINTAKU PADA SEORANG CHEF


“ Kau dah gila ke Shie?”

“ Apa pulak gilanya? Dah memang betul aku nak kirim salam dekat dia”
Pandangan yang dilemparkan oleh Ida betul-betul membuatkan aku meluat tengok dia. Cara dia pandang aku seolah-olah tidak percaya dengan kata-kataku.

“ Kau kenal ke tak dia tu siapa?”

“ Tak... Tapi dalam seminggu dua ni aku dah perhatikan dia. Dia macam orang baru dekat sini eh?”
Ida hanya menggeleng-gelengkan kepala. Tanda tidak tahu dan malas hendak melayan kerenah aku!

“ Aku tak tahu, cuba tanya Rizal”
Aku menoleh kearah Rizal.

“ Apa?”

“ Kau tak dengar ke apa yang kita orang katakan ni?”
Rizal hanya mengangkat bahu tanda tidak mengetahui apa-apa. Mana nak dengar kalau dah khusyuk dengan tom yam dia! Geram aku dibuatnya.

“ Chef yang kat depan tu... Kau kenal tak? Tak pernah aku nampak sebelum ni”

“ Entah... Aku pun tak kenal dia. Kenapa?”

Rizal menoleh sekilas chef yang aku maksudkan itu.

“ Not bad tapi handsome lagi akulah”
Aku, Ida dan Kak Wati hampir saja tersedak mendengar kata-kata Rizal tu. Hmmm, betullah tu. Siapa lagi nak puji kalau bukan diri sendiri.

“ Aku dah lama perhatikan dia tau, maybe semenjak dia kerja kat sini. Sebab tu aku rasa dia chef baru dekat sini. Aku suka tengok dia, tinggi, hidung pun tegak berdiri bukan macam kau, kontot jer aku tengok. Yang penting dia smart and pembersih. Everytime kita lunch, aku selalu nampak dia berseorangan kalau tak dengan chef India Muslim tu”

“ Cehh... Ini dah kira parah ni kak. Dalam diam dia perhatikan orang. Patutlah lately ni dia makan sikit aje, dah kenyang tengok si dia rupanya”
Ida terus mencelah. Aku hanya tersengih, terasa juga dengan ayat yang keluar dari mulut si kecil molek itu.

“ Aku takkan menidakkan sebab memang aku berminat sangat nak kenal dengan dia”

“ Woii minah! Takkan perempuan yang nak kirim salam? Kalau chef tu yang mulakan, tak apalahkan. Ini kau? Malu la weii”

Hishhh! Rasanya aku nak tenyeh muka si Rizal ni. Aku tahulah yang aku ni perempuan tapi tak salah rasanya aku memulakan persahabatan. Berdosa ke kalau aku buat macam tu? Jelingan yang paling tajam aku berikan kepada Rizal.

“ Tapi tak salahkan. Kita ni bukan budak-budak lagi cik abang oii. Dah dewasa, sepatutnya dia memahami apa yang aku maksudkan. Kirim salam tu bukan hanya untuk menjadikan seseorang itu teman istimewa tapi untuk memulakan persahabatan kalau tak pun, mengeratkan silaturahim sesama manusia. Kitakan bersaudara. Saudara sesama Islam”

“ Betullah tu...”

“ Kau sindir aku ke Ida? Aku tak kisah. Aku cuma nyatakan apa yang aku rasa. Kalau korang tak nak tolong, tak apalah”
Aku buat suara merajuk. Memang aku kenal sangat dengan ketiga-tiga kawan baik aku ni, walau pedas macam mana sekalipun kata-kata mereka, aku memang tak kisah kerana apa yang mereka katakan memang banyak kebenarannya. Hanya tahu guna ataupun tolak ke tepi nasihat yang diberikan. ‘It’s up to you’, itulah ayat yang selalu Ida lemparkan kepada kami bertiga.

“ Okey, biar akak yang tolong Shie”

“ Akak biar betul ni?”
Aku memandang Kak Wati dengan pandangan tidak percaya.

“ Akak tak kisah sebab akak dah kahwin. Umur pun akak sure akak lebih tua dari chef tu jadi tak adalah gossip liar nak didengar. Cuma kamu aje yang akak risaukan, confirm ke ni? tak kisah kalau ada gossip tentang korang berdua? Tahu ajelah hotel ni, semua hal pekerja pun nak diambik tahu”
Betul juga eh... Tapi hati aku kuat mengatakan ‘tak apa’.

“ Kita-kita ajelah yang tahu. Jangan bagitahu orang lain. Dengar tau Zal and kau jugak Ida. Kalau aku dengar something, confirm aku akan cari korang dua dulu”

“ Kau boleh percayalah dengan kita orang ni. Macam tak biasa berahsia pulak ye”
Aku tersenyum. Memang aku mempercayai mereka. Persahabatan yang terjalin selama 3 tahun menjadikan kami seperti adik-beradik.

“ Akak... Dia nak blah dah tu. Macam mana ni? Dah lah susah nak jumpa dia”

“ Tak apa, yang dekat sebelah dia tu anak saudara suami akak. Dia tu bakal chef la jugak, sekarang dia kerja sambil belajar. Kita tanya dia dululah”
Baru perasan, rupanya ada budak lelaki bersebelahan dengan chef yang aku maksudkan tu. Macam mana nak perasan kalau mata aku ni dah tak lari dari tengok wajah chef tu.

“ Erul, sini kejap”

Fuhh! Dada aku dah bergetar hebat ni. Rasa nak pecah pun ada juga. Misi aku kini sedang bermula. Baik mahupun buruk harus aku terima dengan hati yang terbuka kerana akulah yang memulakan segalanya.

“ Kenapa mak ngah?”

“ Mak ngah nak tanya ni, yang dengan kamu tu siapa? Chef baru ke?”

“ Baru kot mak ngah sebab Rul pun masih baru dekat sini. Maklumlah kerja sambil belajar”

“ Tahu nama dia?”
Budak Erul tu dah pandang Kak Wati semacam. Mungkin dia fikir, Kak Wati nak buka cawangan lain kot. Hahaha.

“ Dik... yang nak tahu nama dia tu, saya. Bukan kak Wati ni. Jangan salah anggap dik eh...”

“ Ohh... Nama chef tu kalau tak silap saya Megat Ashfirdaus. Kita orang panggil dia Chef Fir aje”

Megat Ashfirdaus? Keturunan Megat? Hmmm... satu daripada masalah sudah datang menjelma.

“ Dik bagitahu chef tu yang minah ni kirim salam. Nama minah ni Shieda Syuhada. Pergi cepat dik. Make sure chef tu tahu siapa minah yang kirim salam tu eh”

“ Okey bang”
Budak tu dah lari tanpa sempat aku tegah. Rizal ni memang nak kena, belum habis aku soal siasat budak tu dia dah suruh lari.

“ Zal! Asal kau ni?”

“ Kenapa? Dah gentar ke? Belum apa-apa dah gentar cik kak kita ni”
Ida dan Kak Wati terus gelakkan aku. Pandang rendah dekat akulah tu.

“ Aku tak takut la weii. Confirm budak Erul tu tak sempat nak bagitahu dia. Setakat esok, aku boleh prepare lagilah”
Tiba-tiba aku rasa pipi aku sudah hangat semacam. Kenapa boleh jadi macam ni?

“ Shie...”
Ida menggamit lenganku.

“ Apa?”

“ Dia datanglah...”

“ Kau biar betul Ida?”
Mataku terus menjamah kepintu masuk dan keluar kafeteria. Sah! Dia dan juga budak Erul. Aku nampak Erul tunjuk aku kepada chef tu. Zapp! Aku ibarat tak boleh nak bernafas bila mata kami bertemu. Nak pitam pun ada juga. Aku terus berpaling muka kearah Ida. Malu la wehh. Dah besar panjang macam ni pun aku masih tidak mampu untuk menguruskan alam percintaan sendiri. Alam percintaan ke? Atau hanya alam persahabatan? Mak, tolong Shie!!!

“ Kenapa kau berpaling Shie? Aku rasa dia nak tengok muka kau dengan lebih dekat lagi la. Kalau tak, kenapa dia nak masuk semulakan?”

“ Dia masih ada ke Zal? Aku malu la”

“ Kenapa pulak nak malu? Tadi macam terror sangat nak bagitahu. Hohoho... chef tu belum keluar, sekarang dia tengah cuci tangan dia, nak cari alasan untuk tengok kau lah tu”

“ Aku ni pun ada perasaan malulah... Arghh! Rasa menyesal pun ada jugak ni!”
Perangai budak-budak aku sudah menjelma. Apa yang aku buat semua tak kena. Sekejap pegang rambut, sekejap pegang sudu. Minuman yang aku minum, rasa macam minum air simen, pekat dan susah nak ditelan. Muka aku? Jangan tanyalah... Kalau orang toreh muka aku ni, sudah tentu terpercik darah sana-sini. Malu yang tak terkata. Inilah bahana kalau terlampau yakin dengan apa yang dirancangkan sedangkan perkara itu belum tentu pasti senang ataupun susah. Terimalah padahnya Shieda Syuhada!

“ Okey, dia dah keluar Shie. Macam mana rasanya? Best tak macam ni? Ini yang kau nak kan?”
Ida menyoal aku sambil tersengih. Mungkin berpuas hati tengok aku yang tak keruan ni.

“ Kalau aku kata yang aku menyesal, korang percaya tak? Akak percaya tak?”
Aku memandang wajah mereka dengan pandangan yang layu. Betul! Aku rasa menyesal sangat.
“ Kenapa pulak jadi macam tu Shie? Tak salah kalau kamu nak luahkan apa yang kamu rasa. Umur kamu pun dah layak untuk berkahwin. Kalau Shie takut nak hadapi, akak ada. Akak akan sentiasa sokong Shie”

“ Mungkin Shie tak fikir panjang tadi... Buat keputusan macam budak-budak! Kalau dia tak suka Shie macam mana? Baik kalau dia faham yang Shie cuma nak berkawan dengan dia. Kalau dia fikir yang Shie ni, perempuan yang tak tahu malu, terhegeh-hegeh dekat dia macam mana?”

“ Jangan fikir yang negative boleh tak? Aku tengok tadi cara dia pandang kau, okey je. Tak ada pun tanda-tanda orang meluat or tengok kau semacam”
Ida dah mula berkata serius begitu juga dengan Rizal, mengiyakan apa yang Ida katakan. Keluhanku kedengaran juga akhirnya.

“ Kau cuba nak sedapkan hati aku aje ni... Aku dapat rasakan yang aku buat kesalahan yang teramat besar. Dekat tempat kerja pulak tu. Mana nak letak muka aku ni kalau dia tak suka aku?”

“ Kau letak aje dekat dada aku ni Shie..”
Terus tangan kanan aku menampar kuat lengan Rizal.

“ Ouchh!”

“ Kalau kau nak lagi penumbuk aku, cakap lagilah benda-benda yang mengarut tu”

Ada ke patut dalam kesusahan macam ni, dia buat lawak tempatan. Ida dan juga kak Wati hanya tergelak melihat reaksi Rizal. Hati yang geram ni pun akhirnya cair tengok muka 7 sen si Rizal tu. Terserlah juga gigi aku yang menawan ni. Cehh! Bajet bagus...


........................


“ Ida, aku nak masuk kafeteria awal la hari ni. Aku tak nak Chef tu dulu yang masuk. Nanti confirm aku jadi bahan tontonan dia. Kau bagitahu kak Wati dengan Rizal eh. Aku tak nak keluar dari tempat ni kecuali nak pergi toilet dan solat. Aku takut terserempak dengan dia”

“ Okeylah... Kau ingat dengan masuk kafeteria awal tu, kau tak boleh nak serempak dengan dia? Ingat-ingatlah wahai cik Shieda, lunch kita sama dengan chef-chef”

“ Aku tahulah”
Terus butang merah aku tekan bila mendengar ketawa Ida yang macam hantu tu. Buang kredit aku saja telefon dia. keempat-empat kami sememangnya berlainan bahagian. Aku dari bahagian Cost Control, Ida dibahagian ofis, kak Wati pula dibahagian Linen manakala Rizal dibahagian Time Keeper. Faham-faham sajalah kalau dah bekerja di hotel ni, apalagi dihotel yang serba mewah sebegini, bermacam-macam bahagian yang ada. Boleh pening juga dibuatnya.


“ Happy nampaknya cik kak kita ni”
Senyumanku semakin melebar bila Rizal berkata sebegitu.

“ Misi dia dah berjaya bila dia nakkan kita masuk kafeteria awal dari biasa. Hahh tengok, awal 15 minit”
Ida menayangkan jam tangannya. Memang aku tak hairan, sebab aku dah set dekat kepala aku ni, 15 minit lebih awal dari kebiasaan kita orang masuk kafeteria. Jadi, aku ada masa untuk sembunyikan diri aku sebelum chef tu datang. Bernas tak idea aku tu?

Degupan jantung aku sudah memulakan iramanya. Macam tahu-tahu saja jantung aku ni, setiap masa nak lunch, mesti dia nak dendangkan lagu.

“ Bismillah...”
Aku tolak pintu kafeteria seluas-luasnya. Oh My My!!! Hampir kesemua chef-chef dan juga penolong chef yang duduk dibahagian meja bulat memandang kearah kami. Mustahil dia dah ada. Aku cuba beranikan diri untuk meneliti kesemua chef yang ada. Alhamdulillah, dia tak ada.

“ Kita kat meja biasa”
Rizal menunjukkan meja yang menjadi kebiasaan kami untuk menjamu selera iaitu bersebelahan dengan meja chef-chef. Bila aku mula melangkah untuk mengambil makanan tengah hari, aku seperti nampak bayang-bayang chef tu. Takkanlah...

“ Shie...”
Ida cuba membisikkan aku sesuatu. Kini aku yakin bahawa yang tadi tu bukan bayang-bayang tapi kenyataan. Aku cuba berlagak selamba walaupun hati aku ni hanya Tuhan saja yang tahu bergetarnya. Seperti biasa, tangan aku tak boleh nak duduk diam, rambutku yang tersikat rapi pun aku sentuh. Kami berselisih diantara meja chef-chef dan juga meja kami dan ketika itu, aku dapat rasakan yang dia tengok aku. Mungkin segenap wajah aku ni dia renung. Nasib baik jerawat aku tak munculkan diri. Kalau ada malulah, dia sebagai lelaki pun aku tengok wajah dia bersih dari godaan jerawat. Inikan pula aku sebagai wanita, kecantikan merupakan asset kedua yang paling berharga bagi aku. Aku tak tahulah bagi perempuan lain.

“ Mak aihh! Tajamnya dia tengok kau... menakutkan la Shie”
Bisik Rizal kepadaku. Ya, aku sendiri juga dapat rasakan yang dia merenungku dengan tajam sekali. Boleh menembusi ke urat saraf! Tak ke menakutkan tu? Aku hanya berlagak tidak kisah. Biarlah... Kalau dia tak suka, tak sukalah. Ada aku kisah? Mustahil aku tak kisahkan...

Aku makan sikit saja tengah hari tu. Sebab apa? Sebab aku tak lalu nak makan. Bermacam-macam yang aku fikirkan. Duduk pun membelakangkan chef tu, sebab aku malu. Nampak sangat aku terhegeh-hegeh dekat dia. Chef-chef yang seangkatan dengan dia pun, aku rasa mereka tengok aku lain semacam. Macam tahu saja yang aku ada hati dengan chef Fir tu. Kalau dia lelaki yang gentle, kenapa tak cakap apa-apa? Bagitahulah sesuatu. Suka ataupun tidak. Aku tak akan memaksa kalau dia tak suka cara aku ni. Tapi cara dia yang hanya berdiam diri dan cuma tengok aku tu yang membuatkan aku berfikir yang bukan-bukan, semuanya negatif.

Aku ingat lagi kata-kata Rizal, Ida dan kak Wati masa tengah hari tadi setelah kesemua chef termasuk Chef Fir tu beredar.

“ Pandangan aku sebagai lelaki, dia tu macam nak tapi tak berani nak mulakan. Kau pulak dia tengok macam biasa aje. Kot-kot dia fikir kau tak serius” Itu kata Rizal.

“ Entahlah Zal... Aku ni pun satu, macam diri tu lawa sangat. Confident giler yang chef tu nakkan aku juga. Asal aku tak cerminkan diri sendiri eh?”

“ Kau tu yang ngok, aku sebagai wanita ni pun kagum bila korang bersama. Serasi apa? Mustahil kau tak rasa yang diri kau tu cantik. Encik Rafie sendiri pun nakkan kau, kau aje yang tak nakkan dia. Lainlah aku ni, kocik aje” Yang ni kata Ida.

“ Aku bersyukur sangat dengan apa yang Allah berikan ni. Kalau pun cantik di mata korang tak bermakna cantik dimatanya. Cita rasa seseorang itu berbeza-beza Ida. Lagipun aku tak nak hanya kerana cantik, dia sukakan aku. Bila dia jumpa perempuan yang lebih cantik dari aku, terus aku ditinggalkannya. Tak ke naya macam tu? Tak menjamin kebahagiaan langsung. Pasal Encik Rafie tu jangan ungkitlah, dah ada tunang tapi perangai macam ulat buaya. Nampak sangat tak setianya.”

“ Kita tunggu dan lihat saja Shie. Shie kena jugak tahu hati budi dia. Asal usul dia macam mana, dah berteman ke belum. Tak salah mengelak dari awal daripada mengelak dikemudian hari bila kita dah jatuh sayang dekat dia. Kalau hati Shie kuat mengatakan yang dia lelaki sesuai untuk Shie, berdoalah banyak-banyak, minta petunjuk dari-NYA agar dia ditetapkan untuk Shie”

Tersentuh aku mendengar kata-kata kak Wati tu. Tidak pernah terlintas difikiranku untuk berdoa sebegitu. Setiap kali solat, aku hanya berdoa supaya kami sekeluarga mendapat kesejahteraan dan memohon maaf jika ada kesalahan yang aku buat. Ya, seharusnya aku memikirkan tentang kehidupanku kini. Aku juga sudah layak untuk mendapat gelaran isteri orang. Selama 25 tahun ini, hatiku tidak terbuka untuk menjalinkan hubungan yang serius dengan mana-mana lelaki. Ianya ibarat tertutup tapi umurku yang ke 26 ini, aku pula yang memulakannya dulu. Terus terang aku katakan, aku benar-benar bersedia untuk berteman. Chef Megat Ashfirdaus, jika benar kau tercipta untukku, berikanlah aku petunjuk agar diri ini tidak merasa seperti bertepuk sebelah tangan. Cehh! Ayat meletops!


.....................


Hari-hari yang mendatang, aku hanya buat seperti biasa. Masuk kafeteria seperti biasa, tiada lagi lebih awal 15 minit. Sia-sia saja buat macam tu! Hari ini walaupun luaran aku seperti tidak menghiraukannya lagi tetapi dalam hati aku tetap menunggu kedatangannya di kafeteria ini. 10 minit.... 20 minit... Dan hampir saja kami selesai makan tengah hari, kelibat chef tu pun masih tak ada. Hairan... Sedangkan chef-chef yang pernah makan semeja dengannya ada di kafeteria ini. Mungkin dia dah meluat tengok aku kot...

“ See... Dia tak ada. Confirm dia dah meluat tengok aku”
Aku benar-benar sedih. Nampak sangat dia nak elakkan diri dari jumpa aku.

“ Dia Off kot Shie... Mana tahukan...”
Aku hanya menggeleng-geleng, menidakkan kata-kata kak Wati.

“ I don’t think so kak...”

“ Mungkin dia sibuk, kan hujung minggu ni ada orang tempah hotel kita. Mana tahu dia sedang sibuk sediakan wedding cake”
Rizal sedaya upaya cuba nak sedapkan hati aku. Begitu juga dengan Ida.

“ Takkan tak ada masa nak break. Lagi-lagi masa lunch ni. Chef Azhar sendiri pun tengah break masa ni. Apa yang aku tahu, dia kan ketua chef pastry, takkan tak boleh nak break? Anak-anak buah dia pun sekarang ni tengah break. Dahlah... Maybe I should give up on him?”

“ Shie...”
Ketiga-tiga mereka menyeru namaku.

“ Apa?”

“ Dia ada... baru je masuk”
Hatiku berbunga semula. Hanya tinggal 5 minit saja lagi masa untuk tamat rehat, baru dia nak datang.
Aku menoleh kebelakang, dia melambai-lambaikan telefon bimbit dia kepada salah seorang chef sambil tersenyum. Entah, apa makna semua tu pun aku tak tahu. Sejerus itu, dia terus memandangku. Terkesima aku dibuatnya. Perlahan-lahan kepala aku bergerak untuk menoleh kehadapan. Tengok wajah dia sekejap pun jadilah. Bila masa dia keluar pun aku tidak tahu. Bak kata orang, aku tengah jual mahal. Tapi bagi aku, perkataan ‘jual’ ni memang sensitif yang teramat sangat buat aku dan mungkin bagi wanita-wanita yang lain juga. Sebab bagi aku, kita sebagai manusia, tiada istilah jual. Jadi, aku tak suka nak gunakan perkataan ‘jual mahal’ ni. Kira aku berlagak sombonglah, tak nak hiraukan dia. Tengok dia pun sekejap saja.

“ Korang nampak tak tadi dia lambai-lambaikan handphone dia? Macam ada something jer... Mungkin dia tanya kawan dia, kau ada kat kafeteria ni ke tak... Itu yang aku rasalah. Yelahkan... buat apa dia masuk kafeteria? Aku tengok tak pun dia minum atau makan. Just nak jengukkan diri jer. Nak tengok kau sebenarnya lah tu”
Kata-kata Rizal membuatkan aku berfikir, betul ke? Kalau betul, Alhamdulillah tapi kalau tak? Arghh!! Malas nak fikir!
.......................


Bila hari berganti hari , masa berdetik seakan laju, kini sebulan sudah berlalu. Aku dan dia memang jarang bertemu mungkin disebabkan masa yang tak mengizinkan. Akhir-akhir ni, aku dilanda kesibukkan yang tak dapat dibendung. Kadang-kadang aku hanya membawa bekal dari rumah, dan makan di tempat kerjaku. Ida, Kak Wati dan Rizal juga merungut tentang kesibukkanku sehingga tiada masa untuk pergi ke kafeteria. Dah memang lumrah sebegitu. Setiap hujung tahun, mesti kesibukkan melanda aku. Tak boleh nak kata apa, dah nama pekerja kenalah tahu tentang itu. Tapi jangan kata yang aku sudah melupakan Chef Fir, aku sentiasa terkenangkan dia. Hati aku semakin menginginkan dia. Susah macam ni!


Selepas berurusan dengan Ida di Ofis, kami berdua bercadang untuk minum petang dalam masa yang sama, nak rehatkan kepala aku yang rasa nak beku ni bila kira semua perbelanjaan hotel. Kalau salah kira, naya aku. Bos aku memang pantang bila ada kesalahan terutama dalam bab kira-mengira ni. Siapa nak tanggung kalau ada kekurangan dalam pembayaran? Aku tak nak! Biar bos akulah yang tanggung walaupun pedih juga telinga ni dengar leteran dia.

Dalam perjalanan hendak pergi ke kafeteria, kami terserempak dengan Chef Fir bersama dengan kawan sama pastry kot. Aku pun tak tahu. Kalau nak pusing balik, memang sempat sebab dia jauh lagi tapi takkan nak pusing balik, rasa macam budak-budaklah pula. Lagipun, dia dah nampak kelibat kami. Aku tengok dia selamba saja jadi aku pun buat macam biasalah.

“ Ida, aku takutlah...”

“ Buat macam biasa aje. Jangan nampakkan yang kau tu mengelabah. Buat malu aje. Shhh..”

Aku tarik nafas. Aku kena kuat, apa nak jadi, jadilah. Setiap langkah aku atur, mata aku tidak lari dari memandang dia. Begitu juga dengan dirinya. Bila jarak kami hanya beberapa sentimeter, tiba-tiba Ida bersuara.

“ Awak... sekejap. Kawan saya ni, berminat nak mengenali awak”
Siot!!! Ida ni dah hilang akal agaknya. Chef Fir memandang aku tanpa berkata apa-apa. Dah bisu agaknya mamat ni. Yang dia tengok aku, apahal? Tanpa memikirkan malu, kini aku bersuara. Bersuara kerana benar.

“ Okay fine! Yes, saya nak kenal awak. And I think, we need to talk”

“ Okay”
Itu je?? Kawan dia sudah mengundurkan diri. Jadi tempat laluan tangga menjadi tempat perjumpaan kami. Ida jadi pengawal dihadapan pintu. Maklumlah, pekerja hotel ni mengalahkan paparazzi. Jadi kena berhati-hati. Aku harap kawan Chef Fir tu tak gatal mulut hebohkan tentang perjumpaan kami ni.

“ Saya rasa, biarlah saya yang mulakan dulu. Saya sukakan awak. Saya tak kisah apa pun pandangan awak terhadap saya. Saya cuma luahkan apa yang saya rasa. Saya juga takkan ambil hati bila awak tak sukakan saya sebab saya tahu, kita tak boleh nak paksa orang untuk suka dekat kita balik”
Dia masih berdiam diri tapi mata dia memang tak lepas dari memandang aku. Aku sambung lagi.

“ Mungkin bagi awak, cara saya ni macam budak-budak baru nak belajar bercinta tapi perkara ni memang first time dalam hidup saya. Kalau awak nak kata saya ni tak tahu malu, it’s up to you. Tapi buat pengetahuan awak, malu saya bertempat. Saya tak akan malu bersuara jika perkara tu benar untuk diri saya”
Diam... masih tak bersuara. Aku dah naik geram bila dia hanya diam sebegitu. Dia ingat aku ni tunggul ke apa? Atau dia ni jenis yang tak ada perasaan langsung?

“ Kalau awak tak nak cakap, tak apa. Saya dah tak kisah!”

Kaki aku dah mula nak aturkan langkah tapi dia sempat menghalangku. Dia menghampiri aku, lagi dan lagi. Sehingga tiada ruang untuk diriku berundur. Aku sudah mengelabah, mata aku liar mencari kamera tersembunyi atau CCTV ke, kot-kot dia nak ambil kesempatan. Tapi masalahnya, rangka-rangka kamera pun aku tak nampak. Tempat lain aku tengok, sana-sini berkamera kenapa tempat tangga ni tak ada pula? Mak, Shie dah salah pilih!!!! Entah-entah chef ni jenis yang suka ambil kesempatan. Kalau dia cuba nak sentuh aku, confirm aku jerit terus! Aku hanya tunduk, melihat hujung kaki kami yang begitu hampir. Dia membongkokkan sedikit badannya supaya selaras dengan aku. Dengan caranya sebegitu, membuatkan lagi jarak kami semakin dekat sehingga tanpa sedar, tangan aku menahan dadanya supaya jangan bergerak kehadapan lagi. Aku melihat dia tersenyum.

“ Awak rasa apa yang saya rasa?”

Pelik pertanyaan dia. Sepatutnya soalan itu yang aku tujukan untuknya.

“ Saya tak faham”

“ Degupan jantung saya”
Jadi? Jantung aku ni tak berdeguplah selama ni. Hishh, kenyataan jenis apalah yang dia katakan ni.

“ Awak rasa degupan jantung saya?”
Patutlah dia tanya tentang jantung, rupanya tangan aku masih dekat dada dia. Dengan cepatnya aku melarikan tangan aku.

“ Ya..saya rasa”
Dia ni ada masalah jantung kot? Sebab tu dia macam tak ada hati dekat perempuan.

“ Degupan jantung tu akan datang menggila bila saya melihat awak, bila saya teringat dekat awak mahupun hanya nama awak saja yang diseru. Saya tak sangka awak benar-benar serius dengan perasaan awak. Sebab selama ni saya tengok awak seperti nak tak nak saja. Jadi saya anggap awak suka saya hanya sebagai teman sedangkan saya nakkan lebih dari itu. Saya macam tak percaya bila awak mulakan segalanya. Hati saya benar-benar gembira tapi saya kena pastikan terlebih dahulu. Lagi-lagi saya ni orang baru dekat hotel ni”

“ Errr....”
Memang aku tak tahu nak kata apa. Semua kenyataan yang dilemparkannya bagaikan mimpi buat diriku.

“Shhh... Let me talk first. Sejujurnya memang saya meminati awak. Dari hari pertama saya kerja dekat hotel ni. Saya nampak awak di time keeper masa tu. Awak berborak dengan kawan awak. Awak nampak natural sangat masa tu. Terdetik jugak dalam hati saya untuk mengenali awak tapi bila saya tengok awak macam endah tak endah bila tengok saya, saya lupakan saja niat saya tu. But now I’m happy, perasaan kita serupa. Okey lah, mungkin kawan awak dah lama tunggu, nanti marah pulak dia. Lepas kerja boleh kita jumpa?”

Tanpa berfikir panjang, aku hanya mengangguk.

“ Awak ada bawak phone tak?”
Seperti biasa, aku hanya menuruti katanya tanpa bersuara. Kini telefon bimbit aku bertukar tangan. Dengan cepat dia menekan punat-punat yang ada. Aku tidak tahu apa yang dia buat. Sehinggalah dia memberitahu aku.

“ Phone saya tertinggal dekat locker so saya dah letak nombor telefon saya. Dan saya dah tahu nombor telefon awak. Nanti saya call bila kita nak jumpa eh. Saya masuk kerja dulu. Sorry kalau ganggu minum petang awak. See you later dear. Assalamualaikum”

Aku menjawab salamnya perlahan. Dear? Mahu bernanah telinga aku dengar bila dia ungkap perkataan itu. Romantiknya!!!

Laju kaki aku melangkah untuk mendapatkan Ida. Aku tahu dia tengah marah, mungkin lama benar dia menjadi pengawal tak bertauliah di sebabkan aku. Aku hanya menadahkan telinga bila dia membebel tapi akhirnya dia sejuk bila mendengar berita tentang aku dan Ashfirdaus. Aku rasa seperti di alam mimpi bila orang yang kita suka, menyukai kita balik. Ya Allah, syukur Alhamdulillah.


........................


Selepas kerja, pertemuan yang dijanjikan pun berlangsung. Aku melihat dirinya hanya mengenakan pakaian kasual. Berbeza dengan pakaian unifom chef tapi dia tetap segak. Aduhh! Ini yang buat aku lemah ni. Mula-mula memang aku malu nak buka mulut, macam berat sangat nak buka mulut sebab malu. Tapi bila dia pula yang terlebih bercakap dengan aku, menjadikan aku selesa bersama dengan dia. Rasa malu tu kurang sikit. Sebelum makan malam, kami sempat bersolat di masjid berhampiran. Tanpa sedar masa berjalan begitu pantas, mungkin itu namanya bila kita meluangkan masa bersama dengan orang tersayang, masa begitu pantas bergerak tanpa kita sedari.

Aku sampai kerumah hampir pukul 10 malam, mak dah tengok aku semacam, bukan aku tidak memberitahu dia yang aku akan balik lewat. Cuma mungkin dia hairan, tiba-tiba saja aku balik lewat malam. Selalunya, walau sibuk mana sekalipun paling lewat aku akan balik kerumah dalam pukul 8 malam.


........................


Sedar tak sedar hubunganku dengan Ashfirdaus sudah menjangkau ke 6 bulan. Kini dia menginginkan hubungan kami melangkah keperingkat yang lebih serius lagi iaitu dia ingin berjumpa dengan keluargaku. Sebenarnya sudah banyak kali dia menyatakan hasratnya untuk berjumpa dengan keluargaku cuma aku yang melengahkan masa. Aku mahu keluargaku menerima dia dengan seadanya walaupun emak dengan abah sudah tahu bahawa aku sudah berteman. Kini tiba masanya aku berbincang dengan kedua orang tuaku.

“ Mak... Abah... Shie nak bawak kawan datang jumpa mak dengan abah, boleh tak?”

“ Apa tak bolehnya? Mak dengan abah dah lama tunggu kamu nak bawak kawan kamu tu. Along dengan angah pun tak sabar nak kenal dengan kawan kamu tu. Apa kerja kawan kamu tu?”
Tanya emak yang sibuk menyediakan minum petang untuk abah. Abah cuma jadi pendengar tanpa mencelah. Haihh! Bukan aku tak kenal dengan kedua-dua abang aku tu, mereka nak kenakan aku lah tu kalau aku bawa teman istimewa datang rumah.

“ Chef mak...”

“ Chef?”
Abah sudah mencelah. Aku sudah rasa macam tak sedap hati bila abah mempersoalkan bila aku menyebut chef tu.

“ A’ah bah... kenapa?”

“ Boleh menjamin ke kalau hanya kerja sebagai chef? Bukan abah nak mementingkan kedudukan pangkat segala ni cuma yelah kamu tu accountant dan dia pula hanya sebagai chef, tak ke kedudukan dia rendah lagi dari kamu. Setakat chef biasa, abah rasa gaji kamu lagi besar dari dia. Kamu kena fikir lebih teliti lagi Shieda, jangan hanya cinta kamu sanggup menyara dia pulak”

Terkejut aku mendengar kata-kata abah. Seperti abah tidak menyukai pilihanku. Emak hanya diam, mungkin mengiyakan kata-kata abah itu.

“ Abah... bukan Shie nak menangkan dia tapi dia belajar dari luar negara abah. Gaji dia lebih besar dari gaji Shie. Kalau pun gaji dia sebaya mahupun kurang sedikit dari Shie, Shie tak kisah. Yang penting hati dia menerima Shie. Bukan harta yang Shie cari dalam diri dia tapi keikhlasan dia. Shie tahu, zaman yang serba moden ni, duit amat penting, teramat penting. Tipu lah kalau tanpa duit, pasangan itu tetap bahagia dengan hanya adanya cinta. Sebab semua ni kenalah seimbang. Duit mahupun cinta”
Panjang lebar aku jelaskan kepada abah sebab aku mahu abah memahami apa yang aku rasa. Sedih juga aku bila mendengar kata-kata abah tu. Itu tandanya abah tidak menerima Ashfirdaus sepenuhnya.

“ Abah kenal-kenal la dulu dengan dia, kenal hati budi dia. Sebenarnya dia yang beria-ia nak jumpa dengan mak ngan abah. Boleh abah kan? Hujung minggu ni dia datang”
Sambung aku lagi bila tengok abah seperti terpinga-pinga mendengar kata-kata aku tadi tu.

“ Baiklah...”

“ Terima kasih abah..”
Terus aku memeluk emak, terasa bahagia sangat bila abah bertolak ansur denganku. Emak tersenyum gembira.


.........................


Petang Khamis tu selepas kerja, aku menunggu Ashfirdaus di Coffee House. Sebab ada pelanggan ingin mencuba rasa dessert dan kek yang terpilih untuk dibuat pilihan sebagai pencuci mulut dan juga kek pertunangan pada hujung bulan ini. Kini hubunganku dengan Ashfirdaus sudah diketahui oleh kakitangan hotel jadi aku tidak kisah untuk berjumpa dengannya di hotel ini. Petang itu suasananya kelihatan sunyi saja, hanya beberapa orang saja yang minum petang.

Ketika leka bermain dengan telefon bimbitku, aku mendengar suara-suara yang seperti mengherdik dari belakang. Seperti tidak berpuas hati lagaknya. Aku cuba memasang telinga.

“ Ini ke kek yang korang bangga-banggakan? Rasa entah apa! Aku nak rasa yang lain daripada yang lain bukan rasa yang macam ni! Ini kedai bakery pun dapat buat rasa yang macam ni. Mana chef yang bertanggungjawab dalam buat kek ni? hotel saja bertaraf bintang tapi ini ke taraf chef yang ada dekat sini? Macam chef kedai mamak!”

Mak haihh! Pedas sungguh lelaki tua ni bercakap. Macamlah dia chef antarabangsa. Mengada-ngada! Aku pula yang sakit hati mendengar.

“ Abang dah lah tu. Saya rasa okey saja. Fiena pun tak kata apa, abang pula yang lebih”
Aku mendengar ada suara perempuan yang mencelah, mungkin itu isteri lelaki tua tu.
“ Betul daddy, Fie rasa okey saja. Fie berkenan dengan kek ni. Macam kek yang selalu abang Ash buat, sedap sangat”
Yang ni mungkin anak perempuan dia. Sedaplah juga rasa hati ni bila dia puji rasa kek tu. Yelah kan, ini melibatkan Ashfirdaus jadi aku tak nak dia mendapat susah hanya kerana pelanggan yang tak tahu rasa tapi buat-buat macam pakar dalam bidang rasa-merasa ni.

“ Kamu diam Fiena! Aku tak berkenan dengan kek yang macam ni. Dah banyak macam kek yang mereka syorkan tapi rasa hampeh. Ini kek pertunangan kamu, jangan nak bagi aku malu hanya kerana kek dengan dessert mereka ni rasa macam sampah! Aku nak jumpa dengan ketua chef kamu, sekarang jugak!”

Panas telinga aku mendengar kata-kata lelaki tua ni. Aku mengatur langkah ke meja lelaki tua itu. Aku melihat Encik Rafie sudah terkulat-kulat melayan pelanggan cerewet ni.

“ Kenapa Encik Rafie? Ada masalah ke?”
Aku cuba mencelah, kononnya nak menolong tapi apa yang aku dapat adalah...

“ Kamu siapa? Aku suruh chef yang buat kek ni datang bukannya kamu! Acara anak aku dah semakin singkat tapi ini yang aku dapat? Makanan sampah!”

Hek eleh orang tua ni. Kenapa makanan pencuci mulut saja yang dicemuhnya, kenapa bukan makanan asasi? Geram aku tengok.

“ Abang...”
“ Daddy...”
Serentak ketiga-tiga wanita dihadapanku ini bersuara. Yelah, dah nampak sangat orang tua ni kurang ajar. Aku nampak kelibat Ashfirdaus, mungkin cuba untuk menerangkan kepada pelanggan kami yang cerewet ni.

“ Maaf Tan Sri... Ada apa yang boleh saya tolong?”

Ohh... Tan Sri yang depan aku ni, berlagak bukan main.
“ Ash...”
“ Abang Ash...”
Lagi sekali ketiga-tiga perempuan yang dihadapan aku ni bersuara. Ash? Mereka kenal dengan Ashfirdaus? Isteri kepada Tan Sri itu sudah menghampiri Ashfirdaus.
“ Aku tak suka dengan kek-kek yang ada ni. Rasa macam sampah! Hanya ini kemampuan kamu sebagai ketua chef? Buat malu saja!”
Sinis orang tua ini berkata-kata. Sudah banyak kali dia kata kek yang ada ini rasa macam sampah, dia dah pernah rasa ke sampah ni macam mana rasanya? Hendak kata tak ada akal, pangkat sudah tinggi tapi cara berkata-kata macam orang yang tak tahu adab!
“ Abang dah lah tu. Maafkan mummy Ash, mummy tak tahu yang Ash kerja dekat sini. Apa yang penting, makanan yang ada ni dah cukup sedap cuma tekak daddy kamu saja yang lain daripada yang lain”

Mummy? Daddy? Tak kan lah... Jadinya semua ini adalah keluarga Ashfirdaus? Mummy, daddy, kakak dan juga adiknya. Lemah aku jadinya.

“ Ini adalah majlis Fie! Fie dah tetapkan yang Fie nak hidangan sebegini ketika majlis Fie tu. Kalau daddy tak suka, Fie tak nak masuk campur. Tapi inilah pilihan muktamad Fie”
Perempuan yang bernama Fie itu sudah menghampiri Ashfirdaus.
“ Abang, maafkan Fie. Maaf sebab buat kecoh hanya disebabkan rancangan daddy yang tak masuk akal ni...”

“ Jangan nak kurang ajar dengan aku Fiena!”

“ Fie balik sendiri! Abang, Fie balik dulu. I’ll call you later”
Fiena terus pergi tanpa menoleh lagi. Mungkin malu dengan orang sekeliling yang ada melihat situasi hangat ini. Sejerus itu, diikuti oleh Tan Sri a.k.a orang tua yang tak sedar diri itu. Hampir jatuh kerusi yang di dudukinya akibat tolakkan yang kuat.

“ Mummy minta maaf Ash, patutlah daddy beria-ia sangat pilih hotel ni untuk lokasi pertunangan Fiena. Rupanya dia dah tahu yang Ash kerja dekat sini. Dah lama Ash tak balik rumah, mummy rindu”

Aku yang disisi Ashfirdaus hanya diam manakala Encik Rafie sudah tiada mungkin sudah mengetahui jalan cerita yang sebenar, lagi pula keadaan sudah pulih. Pelanggan yang lain juga sudah tidak menghiraukan lagi.

“ Tak apa mummy. Nanti Ash balik, kalau tak, mummy datang rumah Ash. Ash pun rindu dekat mummy”
Ashfirdaus mencium kedua-dua belah pipi mummynya. Nampak sangat yang dia sudah lama tidak berjumpa dengan mummynya.

“ Akak akan minta maaf kepada pihak hotel atas apa yang berlaku ni. Ash jangan risau, akak akan pastikan kejadian yang dulu tu tak akan berulang lagi”
Yang ini mungkin kakak Ashfirdaus. Ashfirdaus menggamit lenganku.

“ Mummy.. Akak.. ini teman wanita Ash. Mungkin hari ni bukan hari yang sesuai untuk sesi kenal tapi yang penting Ash nak mummy dan akak tahu yang Ash dah ada pilihan hati dan bersedia untuk berkahwin”
Mummy Ashfirdaus terus memelukku erat.

“ Maafkan apa yang daddy katakan tadi tu nak dan terima kasih sebab menerima anak mummy”
Lega hati aku mendengar kata-kata yang dilontarkan oleh mummy Ashfirdaus. Kakak Ashfirdaus juga sudah memberikan lampu hijau.


Dalam kereta aku hanya mendiamkan diri. Bermacam-macam yang aku fikirkan. Selama ini aku hanya mengenali Ashfirdaus sebagai Megat Ashfirdaus Megat Amri. Rupanya dia anak Tan Sri. Jauh benar kedudukan kami berdua. Patutlah selama ini, bila aku bertanyakan tentang keluarganya hanya mummy, kakak dan juga adik yang disebut, langsung nama Tan Sri Megat Amri tidak disebut. Ada cerita di sebalik rupanya.

“ Shie... kenapa orang pandang rendah dengan pekerjaan chef ni? Tak menjamin ke hanya kerja sebagai chef? Apalah sangat nak dibanggakan dengan businessman ni? Kalau tak bersungguh-sungguh akan jatuh juga. Yang penting kita suka dengan pekerjaan yang kita lakukan sekarang. Tapi alasan ni tak diguna pakai oleh daddy saya. Dia nak sangat saya kerja dengan dia, gantikan tempat dia sedangkan kakak saya lebih berhak. Kakak saya berminat sangat dengan kerja business ni tapi daddy yang tak nak. Kata dia, wanita tidak layak untuk memimpin empire yang besar.

Saya tahu yang dia takut harta dia jatuh ke tangan abang ipar saya. Pemikiran yang singkat! Dia sepatutnya mempercayai seseorang itu apalagi abang Firash tu. Saya kagum dengan abang Firash sebab tahan dengan kerenah daddy. Inilah masalah bila kedekut dengan harta sendiri. Hanya mementingkan kebendaan. Takut harta lari pada orang lain. Masa belajar dulu dekat France, satu sen pun daddy tak pernah tolong saya. Sebab dia benci dengan pilihan yang saya buat. Dia sekat duit mummy supaya mummy tak dapat tolong saya. Tapi Alhamdulillah, berkat sabar, usaha dan doa yang dipohonkan kepadaNYA saya mencapai apa yang saya cita-citakan. Bekerja sambil belajar memang susah tapi pengalaman inilah yang saya tak akan lupa sampai bila-bila, mengajar saya erti kehidupan yang sebenar. Dulu saya bekerja dihotel Langkawi tapi bila daddy saya sendiri cuba sebotaj saya, saya terpaksa berhenti kerja. Tapi saya bersyukur, saya kerja di hotel ni dan berjumpa dengan awak. Syukur sangat.”

Luahan kata-kata dari Ashfirdaus membuatkan aku sangat kasihan dengan dirinya. Tidak semua orang kaya itu hidup dengan bahagia. Adakalanya kehidupan mereka sudah ditetapkan oleh orang tua mereka. Aku bersyukur sangat dengan kehidupan yang aku ada walaupun tidak sekaya Ashfirdaus tapi aku sangat bahagia. Kehidupan yang sederhana lebih indah daripada yang berlebihan ataupun berkurangan. Memang semua ini telah ditentukan olehNYA tapi kita sebagai manusia kenalah berusaha mencorak kehidupan kita untuk menjadi yang lebih baik.

Aku juga teringat dengan kata-kata abah tentang pekerjaan Ashfirdaus tapi tidak mengapa, aku percaya dengan pilihan yang aku pilih ini. Apa yang aku katakan pada abah, begitu juga yang aku katakan pada Ashfirdaus. Aku percaya dengan dirinya. InsyaAllah, untuk masa depan kami, aku akan pastikan yang kami akan berusaha untuk mendapat kebahagiaan kami bersama.

Dengan hanya memberitahu bahawa hujung minggu ini Ashfirdaus boleh datang berjumpa dengan keluargaku, aku nampak dia benar-benar gembira. Terus lupa dengan masalah yang melanda dirinya. Tanpa aku duga, dia bercadang untuk masak sendiri pada hari perjumpaan itu. Ini apa kes? Mustahil tetamu yang masak untuk tuan rumah? Memang tak dibuat oleh orang lain. Ini kes nak ambil hati emak dengan abah aku lah ni. Akhirnya aku bersetuju dengan cadangannya. Layan sajalah.


..........................


Tiba masa yang dinantikan, Ashfirdaus datang lebih awal daripada yang dijanjikan. Memang semangat betul dia ni. Banyak betul barang yang dibelinya. Aku pun tak tahu apa saja yang hendak dimasaknya. Kata abang-abangku, Ashfirdaus cuba nak ambil hati keluargaku. Aku tidak menidakkan, mungkin ini adalah salah satu daripada usaha dia supaya keluargaku menerima dirinya. Aku sangat menghargai usahanya ini. Penyibuk betul abang-abangku, mereka sanggup balik hanya disebabkan aku hendak memperkenalkan Ashfirdaus kepada emak dan abah. Sedangkan along bekerja di Johor manakala angah di Terengganu. Kedua-dua mereka sudah bertunang tapi belum berkahwin dengan alasan mereka hendak tunggu aku kahwin dulu. Kedua-dua mereka memang sangat menyayangi aku, itu memang aku ketahui dari dulu lagi sebab itu mereka sanggup balik hanya disebabkan ingin mengenali bakal adik ipar mereka.

Setelah mengenalkan Ashfirdaus kepada keluargaku, kami terus menyediakan bahan-bahan untuk dimasak. Rasa malu pula pada diri sendiri bila melihat dia lebih cekap mengerjakan kerja dapur berbanding dengan aku. Aku hanya menolong mengerjakan benda remeh-temeh saja.

Terasa segalanya berjalan begitu pantas, semuanya sudah terhidang diatas meja. Masakan yang begitu menyelerakan, semuanya masakan kampong. Pandai betul Ashfirdaus, kalau dia masak makanan barat, sudah tentu abah tak suka makan, abah memang cerewet dalam hal makan ni. Cuma aku takut abah pula yang takut nak makan sebab hiasan setiap masakan begitu cantik sekali, macam makan dekat hotel.

“ Abah, mak, along, angah jemputlah makan. Makanan dah siap”

Setelah bertukar baju, aku terus kemeja makan. Ashfirdaus juga sudah menukar baju dia dengan pakaian yang lebih formal. Mak aii! Hensem betul dia ni. Sempat juga dia bawa baju rupanya. Memang menjaga kebersihan betul.

Aku melihat abah seperti teragak-agak hendak makan. Nak ketawa pun ada juga aku dibuatnya.

“ Abah, mak makanlah. Maaf jika ada kekurangan. Saya harap apa yang terhidang ni memenuhi cita rasa semua”
Sungguh berhemah Ashfirdaus berkata-kata. Aku menoleh kearah abang-abangku, kedua-duanya kelihatan tersengeh-sengeh. Macam budak-budak!

Makan tengahari itu diselang-seli juga dengan soalan-soalan dari keluargaku kepada Ashfirdaus. Lega aku mendengar Ashfirdaus menjawab dengan tenang sekali bila soalan diutarakan kepadanya. Lepas makan, Ashfirdaus menolong aku mengemas pula, sudah banyak kali aku dan juga emak menegah tapi dia tetap ingin menolong. Katanya mengemas lepas makan adalah kerja dia juga. Lepas masak mesti tahu mengemas dan membersihkan bekas masakan. Lama betul Ashfirdaus melepak dirumahku. Mudah betul dia menyesuaikan dirinya dengan keluargaku. Sebelum Ashfirdaus pulang, mereka sempat solat berjemaah bersama. Abah menginginkan Ashfirdaus menjadi imam mereka, tanpa teragak-agak Ashfirdaus bersetuju. Aku yang ketika itu datang bulan, hanya memerhatikan dari belakang. Suaranya lantang membaca ayat-ayat suci al-quran. Aku benar-benar yakin bahawa dialah lelaki yang akan membimbing aku ke jalan yang diredhai Allah di dunia dan akhirat.


.........................


Sebulan selepas itu, Ashfirdaus menghantar rombongan meminang. Rasa teruja yang teramat sangat bila mummy dan adik-beradik Ashfirdaus menerimaku seadanya. Hanya Tan Sri Megat Amri saja yang tidak menghadiri upacara itu. Keluargaku juga sudah maklum tentang hubungan Ashfirdaus dengan daddynya. Keras betul hati daddy Ashfirdaus itu, hanya kerana kehendaknya tidak dipenuhi, dia seolah-olah memusuhi anaknya sendiri.

Ashfirdaus pernah membawa aku pergi berjumpa dengan daddynya hanya kerana kami ingin meminta keizinan darinya untuk berkahwin pada masa yang sama Ashfirdaus ingin memohon maaf atas sengketa yang berlaku antara mereka tapi apa yang kami dapat adalah kata-kata cemuhan dari Tan Sri Megat Amri. Aku dikatakan ingin mengikis harta Ashfirdaus, menginginkan keturunan daripada mereka dan banyak lagi kata-kata yang pedih didengar. Sakit juga hati aku ni, bila dia sewenang-wenangnya mencemuh aku sebegitu. Aku berasa bangga bila Ashfirdaus mempertahankan aku dan membalas balik kata-kata daddynya. Kata-kata yang berupa teguran dan nasihat supaya Tan Sri Megat Amri sedar bahawa kekayaan ini hanya sementara, begitu juga dengan manusia. Manusia disisi Allah semuanya sama, yang hanya membezakan adalah amalan dan kepatuhan seseorang itu kepada penciptaNYA.

.........................


“ Awak... saya...”

“ Saya tak nak dengar apa-apa. Awak tetap akan jadi isteri saya dalam beberapa minggu ni juga!”

“ Tapi...”

“ Tak ada tapi-tapi!! Awak akan tetap jadi milik saya walaupun daddy saya tak setuju dengan keputusan saya ni. Ingat Shie, awak yang memulakannya dulu dan saya tak akan melepaskan awak walaupun apa yang terjadi. Saya yakin, jodoh saya hanya dengan awak!”

Ashfirdaus benar-benar marah bila aku pernah menyuarakan supaya pernikahan kami ditangguhkan. Aku bukan apa, aku takut daddy Ashfirdaus akan membuat sesuatu yang tidak dijangka untuk memisahkan kami. Sebab itu aku mahu menangguhkan pernikahan kami. Aku mahu daddy Ashfirdaus menerima aku seadanya. Bila fikir semula, percaya satu sama lain itu penting. Aku harus percaya dengan kradibiliti Ashfirdaus memimpin sebuah keluarga. Cintaku padanya tidak ternilai, mustahil aku tidak mahu bersamanya. Akhirnya pernikahan kami berjalan dengan lancar.


.....................


“ Sayang, nanti kita makan malam dekat rumah mummy ye? Dah lama kita tak balik rumah mummy. Kita ajak mak ngan abah sekali la ye?”

“ Okey ke kalau bawak mak ngan abah? Nanti daddy tak suka?”

“ Okey sayang. Don’t worry, mummy yang suruh. Nanti kita jemput mereka. Nak abang yang call ke atau sayang?”

“ Shie aje yang call mereka”

“ Okey . jom!”

“ Jom? Nak pi mana?”

“ Naik atas dan tukar baju. Kan hujung minggu ni... kita jalan beli barang. Abang nak masak, shie tolong abang eh?”

“ Alah... abang tu yang tak bagi Shie tolong. Semua abang nak control. Mentang-mentanglah dia Chef. Kita ni cuma peneman dia aje”
Jariku digengam erat, senyuman sentiasa menghiasi bibir Ashfirdaus. Sememangnya semenjak kahwin, aku hanya menjadi penolong dia ketika didapur. Dialah yang menjadi tukang masak untuk sarapan pagi, tengahari dan juga makan malam. Bila aku menyuarakan rasa tidak puas hati dan menyatakan bahawa sepatutnya kerja masak-memasak ni adalah kerja seorang isteri. Dia dengan selamba mengatakan..


“ Untuk apa abang jadi chef kalau hanya masak untuk orang lain tapi bukan isteri sendiri? Abang nak sayang rasa setiap masakan yang abang ilhamkan setiap hari. Boleh sayang?”
Akhirnya aku mengalah. Terharu dengan kesungguhannya.

Ciuman yang lembut dipipiku mengejutkan aku ke alam nyata.

“ Sempat berangan isteri abang ni”
Aku tersenyum malu.

“ Shie nak mandi dulu la. Badan dah melekit ni. Nasib baik abang tolong Shie bersihkan taman kalau tak, memang tak larat. Pak Aji dengan Mak Mah pun belum balik dari kampong lagi”

“ Okey sayang... Kalau letih, rehat dulu. Kita jalan akhir sikit pun tak apa. Janji isteri abang tak letih”
Aku hanya tersenyum manja kearah suamiku. Dia amat memahami diriku. Sememangnya aku benar-benar bahagia bersamanya. Inilah cintaku pada seorang chef yang bernama Megat Ashfirdaus. Semoga kebahagian ini berkekalan hingga akhir hayat kami. Mengenai daddy Ashfirdaus, walaupun tidak semesra mummy, masih dingin tapi aku tahu dia cuba untuk menyesuaikan dirinya. Hatinya tidaklah sekeras mana, ada juga keinginan untuk menjernihkan hubungannya dengan kami suami isteri serta keluargaku. Alhamdulillah...

9 comments:

  1. nak cari juga macam shieda. ^_^
    bole setiap hari goyang kaki tgk laki masak. hik.

    ReplyDelete
  2. Afiqah airil - Jom! Kita cari sama2. Hehe

    ReplyDelete
  3. kak sya! ini sangat best! lain daripada yang lain! saya sangat sukakan gaya cerita yang kak sya garapkan ni! huh, dah x tau nak cakap apa...saya bagi 5/5 bintang :)

    ReplyDelete
  4. Sakuraputih : tq dik.. Ini yg syg lebih ne... Akak cuba nak terapkn cerita yg ala2 santai je.. Kot2 success ke... Tp syukur ada juga yg mnyukainya..

    ReplyDelete
  5. kak sya....cter akaq sume best2...ni yg buat saya nk ikuti sumer cter akaq ni!! <3<3<3

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Hazirah. Cerita yg biasa2 sja. Kerana adanya idea yg mendatang, minat menulis yg menggunung dan ianya dtg dari hati jdi terhasillah cerita yg tak seberapa ini. Tq dik ya.

      Delete
  6. bezzzzzzz sangat cite nie.cite akak semua bez2 good luck kak sya

    ReplyDelete
  7. x salah sesekali perigi cari timba kan,
    kalau akhirnya dapat timba comel....
    hahaha....

    as usual.... U mmg superb....

    I lioke...

    ReplyDelete

 

Diari Terindah Farisya Natasha Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template