BAB
4
Balik
saja dari bekerja, aku terus membersihkan diri. Terasa rimas dan letih. Kepala
juga terasa berat. Tapi setelah membersihkan diri, badan yang letih sudah
kembali segar. Pintu bilikku diketuk dari luar.
“Dhira... Is datang tu. Pergilah
keluar. Dia nak jumpa Dhira,” beritahu mak padaku.
“Kejap. Suruh dia tunggu kejap,”
laungku. Cepat saja aku mengenakan baju dan terus menghamparkan sejadah untuk
bersolat Isya’. Kalau ditangguh, pasti aku akan lalai atau terleka untuk
menunaikan suruhan Ilahi itu. Nasib baik aku sempat solat Maghrib di tempat
kerja tadi.
Senyuman
terukir di bibir sebaik saja kaki menjejak di ruang tamu. Aku pasti, Abang Is
hendak mengetahui perkembangan aku dan Aisy. Katanya dia mahu berjumpa aku
secara berhadapan, baru dia berpuas hati dengan maklumat yang aku berikan
padanya.
“Dah solat Isya’ ke Dhira?” tanya
mak padaku.
“Dah...”
“Betul ni?” tanya mak lagi cuba
memastikan bahawa aku benar-benar sudah solat mahupun tidak.
“Dah la... Mak ni.”
“Kamu tu kena diingatkan
berkali-kali baru nak solat.”
Aku tersengih. Memang begitulah aku.
Selalu leka dalam mengerjakan solat. Aku amat berterima kasih dengan sikap prihatin
mak itu. Jika tidak, aku akan terus lalai dalam melaksanakan suruhan-Nya. Nauzubillah.
“Ayah mana mak?”
“Dah masuk tidur. Katanya dia letih
sangat hari ni. Is dah makan? Kalau nak makan, mak ngah sediakan.”
“Tak apa mak ngah. Is dah makan pun.
Janganlah susah-susah. Bukannya orang lain pun Is ni.” Abang Is menegah mak
dari menyediakan makanan mahupun minuman untuk dia.
“Iyalah. Kamu buat macam rumah
sendiri ya. Kalau malas, ni hah suruh si Dhira buatkan kamu minuman. Mak ngah
naik atas dulu, nak sambung menjahit.”
“Baiklah mak ngah.”
Nasib baik mak naik ke atas.
Senanglah untuk aku bercerita tentang Aisy pada Abang Is.
“Macamana? Dia nak jumpa dengan
Dhira lagi tak?”
“Hei... Ini Dhira la.. Mustahil dia
tak nak jumpa lagi. Abang ni tak menyempat-nyempat Dhira nak duduk, abang dah
tembak Dhira dengan soalan macam tu.”
Abang Is tersengih. Sedar akan
keterlanjurannya. “Abang tak sabar nak tahu perkembangan Dhira dengan dia. Tak
best kalau bercerita hanya dalam telefon.”
“Dia nak jumpa Dhira hujung minggu
ni lagi. Nak baca tak SMS dari dia?”
“Mestilah nak. Jangan buang semua
SMS dia ni. Ini adalah salah satu bukti nak tunjukkan kat Nita nanti.”
Aku mengangguk. Lalu aku mencari SMS
yang Aisy hantar padaku untuk beberapa hari ini setelah makan tengahari bersama
tempoh hari yang lalu.
“Nah, bacalah. Pasti abang akan
tergelak baca ayat dia yang merapu tu.” Telefon bimbitku bertukar tangan.
“Baca dari atas sekali tau,” ujarku.
-Hi sweety... Kita lunch sama hari
ni ya?-
Itu adalah SMS dia yang pertama
setelah kami makan tengahari bersama tempoh hari. Dan aku pula mengatakan sibuk
sebagai alasanku.
“Dia tak call Dhira ke lepas tu?”
“Ada... Tapi Dhira tak jawab la..
Dah kata sibuk, kan? So, akhirnya dia berhenti call Dhira.”
-Hi beautiful, it’s like I’m
missing u. Can I meet you?-
Besar ketawa Abang Is membaca SMS
Aisy yang kedua itu. Sudah aku katakan... Semua SMS yang Aisy hantar padaku,
semuanya merepek belaka. Nak muntah aku membacanya.
“Dia ni memang pandai ayat sungguh,”
ujar Abang Is seraya tergeleng-geleng.
“Kan... Naik muak Dhira baca SMS dia
tu tau. Menyampah betul.”
-Hei dear... I don’t know why I
keep thinking about u. I guess I miss u. U tgh buat apa? Tell me, I cuma perlu bayangkan what u’re doing right
now-
“Whoa... Whoa... Ini dah lebih ni.
Dia dah mula nak ayat Dhira. Thanks Dhira, you did a very good job.”
Aku tersenyum bangga dengan pujian
Abang Is itu.
“Dhira hantar gambar pada dia?”
tanya Abang Is bila melihat aku menghantar gambar pada Aisy.
“A’ah. Nak buat dia meroyan lagi
kan... So Dhira hantar la gambar Dhira yang ala comel ni.”
“Nakal betul la Dhira ni.” Abang Is
ketawa dengan perbuatanku. Dalam masa ini, aku kena ‘layan’ setiap gerak-geri
yang Aisy lakukan padaku. Baru boleh buat dia jatuh cinta.
“Abang nak sangat Dhira jadi pelakon
kan? Hah, ni dah masanya. Masa Dhira hantar gambar tu, terus dia nak skype.
Tapi Dhira yang malas nak layan. Dah diberi betis, nak peha lagi. Mengada
betul!”
“Bagus Dhira. Jangan layan sangat
dengan apa yang dia nak. Dhira kena tegas juga. Baru dia rasa tercabar dengan
penolakkan yang Dhira berikan pada dia. Next time, jangan lupa tanya pada dia
tentang girlfriend pula. Cuba selidik dia betul-betul walaupun abang yakin dia
takkan mengaku yang dia dah ada girlfriend.”
“Beres bang!”
Abang Is tersenyum seraya kembali
membaca SMS Aisy.
-Kita jumpa this weekend ya? I nak
sgt jumpa u. And I miss u. Hope u tak bz.-
“Selama dia SMS ni, alasan Dhira
pada dia, busy je ke?”
“A’ah. Dhira meluat sangat la nak
jumpa dia tu. Lagipun, Dhira nak ada back up. Takut dia apa-apakan Dhira nanti.
Dah la dia macam kemaruk sangat nak jumpa. Weekend ni, abang ada. So, Dhira tak
berapa nak takut sangat.”
Memang aku seram sejuk saja bila
dekat dengan Aisy. Aku nampak dengan jelas lagaknya yang sudah kebaratan.
Mungkin sudah tidak ada ketimuran lagi.
“Abang akan temankan Dhira. Dhira
jangan risau ya.”
“Cuma hari tu aje... Dia nampak
gugup bila Dhira lapkan peluh kat dahi dia.” Aku ketawa bila mengenangkan
reaksi yang Aisy pamerkan padaku.
“What? Dhira buat apa kat dia?”
“Oh... Lupa Dhira nak bagitahu
abang. Masa lunch hari tu, Dhira order makanan yang pedas. Dia tak tahan tau.
Lepas tu, muka dia merah sangat dan dia berpeluh. Dhira terus la buat gaya
prihatin. Dhira tolong lapkan peluh dia kat dahi. Dia terus terkejut tau.”
Abang Is kembali ketawa besar.
Tergeleng-geleng dia bila aku memberitahu tentang kejadian lap peluh itu.
“Padan muka dia. Patutlah SMS dia
merapu bagai. Mungkin dia fikir, Dhira dah syok kat dia kut. Itu yang dia
berani kata miss you tu.”
“Mungkin juga. So senanglah abang
buat kerja nanti. Dhira pun tak nak buat benda ni lama-lama. Dhira tak sanggup
nak hadap muka dia tu.”
“So... Apa lagi yang dia buat pada
Dhira masa lunch tu?”
Aku kembali terkenangkan momen kami
ketika makan tengahari bersama. Lalu semuanya aku ceritakan pada Abang Is.
“You kat UK tu kerja apa? If you tak
nak bagitahu, tak apa.” Aku cuba bertanyakan Aisy tentang pekerjaan lelaki itu.
Iyalah, aku ingin tahu sangat dengan kehidupan dia. Nampak dari gaya dia memang
kelihatan seperti orang berada.
“Aircraft Engineering.”
“Wow! Hebat. Mesti gaji lumayan
kan?” Setelah aku melontarkan soalan itu, baru aku terkenangkan sesuatu. Asal
aku tanya tentang gaji ni? Nanti dia fikir aku pisau cukur pula. Nak tanya gaji
bagai.
“Tak adalah... Biasa aje. Cukuplah
untuk menampung hidup.”
Tengok... Dia cuba nak menipu aku.
Nampak sangat dia tak nak bagitahu gaji dia yang sebenar-benarnya. Takut aku
kikis duit dia kut.
“You jadi aircraft engineer ni untuk
airlines apa?”
Hidup dia ni memang menarik sangat
untuk aku ketahui.
“British Airways.”
“Oh... Sekarang you tengah cuti ke?”
“Tak... I dah berhenti kerja kat
sana.”
“Then balik Malaysia for good? Jadi
you kerja either kat MAS or Air Asia la ni?”
Dia tersenyum memandangku. Dan baru
aku tersedar, aku sudah banyak bertanyakan soalan buat dirinya.
“Just forget it. I ni busybody
sangat nak tahu tentang you.”
“I don’t mind, dear. Actually, I’m
not sure I balik sini for good or what. But since I met you, I rasa kehidupan I
di Malaysia dah terisi sesuatu.”
Baru jumpa dua kali sudah kata
begitu? Dia ini memang lelaki yang tahu cakap aje. Bila nak dapatkan sesuatu,
semua ayat manis keluar tapi bila dah dapat, nak keluar ayat manis pun susah!
“You ni merepeklah. Baru dua kali
kita jumpa. It doesn’t mean that you know me very well. And it’s same goes to
me,” ujarku padanya seraya ketawa. Cuba menceriakan lagi suasana.
“So... Hari ni you tak kerja ke?”
Aku cuba menukar topik perbualan kami. Walaupun aku tahu dia tengah menganggur
sekarang ini cuma aku nak tengok tahap kejujurannya padaku.
“Actually, I’m jobless right now. I
got an offer from MAS tapi I belum sedia nak bekerja. I nak rest dulu.”
Amboi... Banyak duit nak menganggur
lama-lama.
“Oh.. Mungkin bagi you tak kisah
la... Kerja dah ada depan mata. Tapi kalau I, dah la hidup menganggur, kalau
duit tinggi menggunung sekalipun, ianya akan kempis juga. Tapi kalau you, tak
kut. I percaya you pasti ada back up money, itu sebab you tak kisah nak
menganggur lama-lama.” Cuba menasihatkannya secara halus. Iyalah, pandai nak
‘ayat’ perempuan tapi kalau hidup menganggur, memang buang karan saja.
“Are you worried because I’m jobless
right now?”
“Tak adalah. Cuma I kata tadi yang I
nak belanja kan? Tapi you dalam diam bayarkan bill I ni.”
“How do you know?” tanya Aisy
hairan.
“Cashier tu hantar bil dan baki duit
you tadi masa you pergi wash room.” Pandai nak kelentong aku mamat ni. Dalam
diam dia bayar semua makanan yang aku order. Dalam hati memang aku bersorak
gembira tapi tak kan lah aku nak tunjukkan semua tu. Mestilah aku berlakon
tidak menyukai apa yang telah dia buat.
“I said.. I tak biasa kalau
perempuan yang belanja I, kan? It’s not me, dear.”
“Then you should work. Kalau you
kerja, I tak kisah pun kalau you nak belanja I. I bukan perempuan yang suka ambil kesempatan lagi-lagi
I tahu you sekarang ni tak bekerja.”
Entah-entah dia berduit ni sebab
pinjam dekat ‘Ah Long’. Lagilah menakutkan. Kut nanti dia jadikan aku sebagai
penjaminnya. Eee... Tak nak aku.
“I will... Don’t worry.”
“Anyway thanks... Macamanalah I nak
balas budi you ni kalau setiap kali I nak belanja, you dah cepat bayarkan.”
Alhamdulillah... Save budget aku
kali ni. Aku bersyukur dalam hati. Kalau beginilah caranya, mahu hari-hari aku
makan tengahari bersama Aisy. Jimat duit belanja.
“You boleh balas jasa I dengan jumpa
I next time. I akan anggap you tak hutang apa-apa dengan I.”
Aku cuba berfikir seketika.
Membuatkan dia tidak sabar menunggu jawapan dariku.
“Macamana? Setuju?”
“Kalau itu yang you nak, I tak boleh
nak kata apa. This is the only way untuk I balas jasa you. Kalau I tak sibuk
atau tak ada halangan la ya. Kalau sibuk, I terpaksa menolak.” Ceh... Konon la
sangat ya Dhira.
“Yes! That’s what I want to hear.”
Aku tersenyum dengan penuh makna.
Tidak aku sangka sebegini lancarnya perancangan kami. Aisy pula mudah dibawa
berbincang. Jika itu yang aku cadangkan, dia pasti akan bersetuju. Senang
sangat nak uruskan dia ni.
“Jadi hujung minggu ni nak jumpa kat
mana?” tanya Abang Is setelah habis aku menceritakan tentang momen kami ketika
makan tengahari tempoh hari.
“Macam biasa. Tempat cafe kawan dia
tu. Kali ni abang kena tukar gaya lain pula. Nanti dia hairan, setiap kali
Dhira ada kat situ, abang yang macam pengangak pun ada juga. Nanti lain pula
jadinya.”
“Eee.. Jahatnya budak ni. Sanggup
kata abang macam pengangak. Ini muka hensem dikatakan gitu.” Abang Is menarik
lembut rambut yang terjuntai di dahiku.
Aku ketawa terbahak-bahak. “Jangan
nanti abang tampil macam lelaki pondan, dahlah... Itu memang Dhira lari jauh
dari abang.”
“Hei! Itu memang taklah.” Habis
lenganku dicubit oleh Abang Is. Sudah pasti dia geram dengan usikan aku itu.
Hujung minggu ini aku kena melawa
sakan. Maklumlah, orang yang hendak aku jumpa ini lelaki mata keranjang. Kalau
gaya aku tak semengah, mana dia nak pandang aku nanti. Nak jatuh cinta jauh
sekali. Itu sebab aku kena pandai bergaya. Segala baju yang cantik-cantik,
Abang Is sanggup sponsor. Gembiranya aku. Kata Abang Is, itulah yang dia hanya
mampu untuk balas jasa aku menolong dirinya.





